Wednesday, February 18, 2009

Peperiksaan @ Exam PTD

Lihat tajuk di atas...
Saya akan ambil peperiksaan walaupun sudah habis melanjutkan pelajaran!
Saya akan menduduki exam PTD buat yang kesekian kalinya. Kalau tak salah saya, mungkin ini kali yang ke 6 atau ke 7. Huh..sudah banyak kali saya berusaha... =)

Walaupun telah banyak kali saya menduduki peperiksaan ini, hanya sekali sahaja saya pernah lulus dan berjaya sampai ke peringkat PAC PTD (assessment centre), iaitu peringkat ke2 dalam peringkat untuk menjadi seorang PTD.

Namun, kenapa saya tidak juga berjaya dengan jayanya untuk lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan tersebut walaupun saya telah berpengalaman dan 'familiar' dengan bentuk-bentuk soalannya? Jawapannya mudah...

Pertama - mungkin jawapan saya tidak mengikut kriteria dan ciri-ciri yang dikehendaki oleh pemeriksa.

Kedua - mungkin saya tidak bersungguh-sungguh menjawabnya.

Ketiga - mungkin markah saya untuk semua seksyen soalan tidak seimbang.

Keempat - bukan rezeki saya lagi...

Maka, di entry ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya yang sudah berkali-kali pergi menduduki exam ini. Bukan untuk berlagak atau menunjuk-nunjuk, tapi sekadar berkongsi pengalaman, dan yang penting anda JANGAN PUTUS ASA seperti saya walaupun selalu sahaja gagal!
Huuuu.... (^_^)

Sepanjang pengalaman saya menjawab peperiksaan bertulis PTD ini, bagi saya bentuk soalannya sama sahaja dan kadang kala memeningkan dan sedikit mengelirukan. Peperiksaan berjalan selama satu hari, dari pagi hingga ke petang.
Jadi, saya nasihatkan kepada anda yang terlibat (akan pergi ke exam ini), supaya bersiap sedia dengan bekalan makanan dan air kerana kadang-kadang tempat peperiksaan seperti sekolah, dewan, pusat-pusat kerajaan, kantin atau tempat makan nya tutup memandangkan hari cuti. Tetapi, hal ini tidak menjadi masalah kepada mereka yang datang dengan kenderaan sendiri. Selain itu, bersiap sedia juga dengan telekung (bagi wanita) kerana pasti sukar untuk menggunakan telekung wakaf yang terhad serta jangka masa rehat yang terhad juga.

Terdapat 5 seksyen, seksyen A hingga E. Boleh rujuk pada belakang surat SPA yang dipos kepada anda.

Seksyen A berkaitan dengan pengetahuan am Malaysia serta alam sekeliling. 60 soalan, perlu dijawab dalam masa 45 minit.
Banyak mengenai pentadbiran, pemerintahan dan perlembagaan negara. Buku rujukan yang berguna - Malaysia Kita, Perlembagaan, buku Sejarah sekolah menengah...
Tetapi, bagi soalan yang berkisar tentang pengetahuan am/alam sekeliling, ia memang benar-benar menguji tahap pengetahuan am anda. Mana tidaknya, banyak soalan di luar jangkaan yang akan anda temui yang kadang kala anda tidak pernah tahu atau malas ingin ambil tahu. Pernah saya bertemu soalan yang bertanyakan tentang negara tuan rumah Piala Dunia la, pemenang award Nobel la...dan sebagainya...
Oleh itu, bersedialah dengan pengetahuan-pengetahuan am, bacalah segala macam bahan bacaan yang anda ada! =)

Seksyen B pula adalah berkaitan dengan daya menyelesaikan masalah yang perlu dijawab selama 45 minit sebanyak 40 soalan.
Kemahiran logik, interpretasi & analisis data serta konsep Matematik yang hanya merangkumi silibus SPM. Berdasarkan pengalaman saya, jarang saya dapat menyemak semula pengiraan dan jawapan saya dalam masa 45 minit dan kadang kala tidak cukup masa untuk mengira dan kesudahannya tanda saja sesuka hati anda! Soalan kemahiran logik, selalunya memang saya tidak sempat untuk memikirkan selogik-logiknya memandangkan penerangannya sahaja sudah cukup panjang untuk dibaca dan difikirkan!

Seksyen C, antara bahagian yang mudah kerana menguji kefahaman Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seseorang. Seperti soalan PMR atau SPM kertas 1, kemahiran memindahkan maklumat, tatabahasa & kosa kata. Perlu menjawab 40 soalan dalam masa 45 minit juga.

Seksyen D dan E memerlukan anda menulis esei dalam Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris selama sejam untuk setiap esei. Terdapat 3 soalan, dan anda hanya perlu menjawab satu sahaja. Soalan esei biasanya berbentuk 'direct', seperti soalan ketika SPM, berkaitan dengan keadaan semasa di negara kita. Contohnya soalan tentang kesan, cara mengatasi masalah, cadangan menangani, akibat daripada sesuatu dan sebagainya. Esei Bahasa Melayu memerlukan 300-500 patah perkataan, manakala esei English dalam 200-300 patah perkataan sahaja.

Saya mempunyai lebih daripada 10 orang rakan-rakan yang telah pun berjaya bergelar seorang PTD. Pernah juga saya bertanya kepada mereka tips-tips untuk lulus peperiksaan bertulis ini. Namun, kebanyakan mereka memberikan 2 jawapan yang sama...

"ko kena jawab betul-betul, poyo-poyo...pastu pastikan ko akan dapat markah average je untuk semua bahagian..."

"aku pun tak tau mcm mana boleh lulus...rezeki kot...so, kena percaya pada rezeki masing-masing la..."

Huu...bagi saya, saya sangat percaya pada rezeki yang dikurniakan olehNya. Sebab kadang-kadang usaha yang sungguh-sungguh tanpa tawakal dan percaya pd kurniaanNya pun, tidak membawa apa-apa makna...kan?

Oleh itu, kepada anda yang pertama kali ingin menduduki exam ini, diharap pengalaman saya dapat memberi sedikit panduan dan membuka mata, hati & fikiran anda untuk melakukannya bersungguh-sungguh dan penuh harapan. Tetapi, jangan terlalu menaruh harapan yang terlalu tinggi kerana mungkin anda akan kecewa...Cubalah sebaik mungkin dan berusahalah bersungguh-sungguh!

Bagi anda yang juga seperti saya, sudah berkali-kali (tapi saya pernah jumpa ada orang yang dah pergi exam ini lebih daripada 15 kali, langsung tak pernah pun lulus dan tak pernah sampai ke peringkat ke2) agar JANGAN PUTUS ASA!!!
Teruskan usaha anda...timbalah pengalaman sebanyak mungkin...dan cool saja seperti saya...hehehehe...
Mungkin suatu hari nanti, akan tiba jua rezeki anda...Insya Allah...

** wishin' me and the other candidates - ALL THE BEST! CHAIYO!!! (^_^)

Thursday, February 5, 2009

Membaca

" Membaca Amalan Mulia"

Saya memang amat suka membaca.

Ia merupakan salah satu hobi saya sejak di bangku sekolah lagi. Namun, bahan bacaan ilmiah seperti buku-buku pelajaran terutama buku teks Sejarah, bukanlah menjadi 'favourite book' saya. Jadi, apakah bahan bacaan yang paling saya gemari?

Ya..saya amat minat membaca NOVEL!
Ia menjadi kegilaan saya sejak di sekolah rendah lagi. Sewaktu di sekolah rendah, saya amat suka membaca novel-novel penyiasatan dan pengembaraan terutama daripada hasil tulisan Enid Blyton yang telah diterjemah ke Bahasa Melayu. Kemudian, apabila meningkat usia remaja (sekolah menengah), saya mula membaca novel-novel remaja, tidak semestinya novel cinta, tetapi apa sahaja novel yang selalunya tebal-tebal dan asalkan ianya mempunyai olahan ayat dan gaya bahasa yang menarik dan penuh makna.

Seingat saya, ketika di Tingkatan 2 (masa tu saya tinggal di asrama), kami berebut-rebut dan bergilir-gilir untuk membaca novel yang selalunya dibawa oleh rakan sekelas, Shima. Beliau memang banyak stok novel di rumah, tapi kami harus menyorok-nyorok untuk membacanya agar tidak diketahui oleh Exco Asrama ataupun cikgu kerana di sekolah saya novel sebegitu terutama novel cinta adalah merupakan bahan larangan ke sekolah dan asrama.

Sebenarnya, saya membaca novel hanya suka-suka, sekadar mengisi masa lapang dan saya suka dengan gaya bahasa dan olahan ayatnya. Hobi ini tidak pernah terkubur walau sesibuk mana pun saya. Sekiranya ada novel, saya akan cuba menghabiskannya, dan sekiranya saya sudah mula membaca, kadang-kadang saya hampir terleka dan sanggup bersengkang mata di malam hari hanya untuk mengetahui kesudahan sesuatu cerita itu. Oh...kenapa tidak ini berlaku ketika saya ingin menghadapi peperiksaan?? Bersengkang mata membaca buku pelajaran??? Hehehe... tanya diri sendiri...!

Sehingga kini, dan ketika ini, membaca novel masih lagi menjadi kegilaan saya...
Penulis novel yang saya minati adalah Novelis Thriller Malaysia, iaitu Ramlee Awang Murshid. Bagi saya, gaya penulisan beliau bukan hanya berkisar tentang cinta semata-mata, walhal penuh dengan dakwah, pengajaran dan membuatkan kita sentiasa berfikir dan tertanya-tanya kesudahan sesuatu cerita yang dihasilkannya. Berdasarkan pengalaman pembacaan saya, kesemua novel beliau penuh dengan suspen dan di luar jangkaan, serta olahan cerita yang berlainan dengan lain-lain gaya penulisan novelis Malaysia.

Pertama kali membaca hasil tulisan beliau adalah novel bertajuk 'Semangat Hutan'. Novel ini diberi pinjam oleh seorang rakan ketika masih menuntut di UiTM Melaka, sekaligus memperkenalkan novelis thriller ini sebagai penulis 'favourite' saya. Antara novel-novel beliau yang lain yang pernah saya baca ialah; Rahsia Perindu, Personal Justice (novel English, adaptasi daripada novel Adam) serta 3 novel yang menjadi pelengkap kepada satu cerita.

Inilah kisah yang paling saya minati dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskannya dan mampu untuk membacanya berulang-ulang kali. Terdapat banyak pengajaran dan ayat-ayat Qur'an yang diterjemahkan yang menunjukkan dan membuktikan kekuasaan serta keagungan Yang Maha Esa...




"Bagaikan Puteri" - Siri pertama, kisah Haryani & Laksamana Sunan...pertemuan insan dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia dan sukar diterima logik akal...




"Cinta Sang Ratu" - Rentetan daripada Bagaikan Puteri. Haryani kembali ke zamannya, abad ke-21, dan Laksamana Sunan atau Saifuddin berkahwin dengan Ratu Sulaman pada akhir kurun ke-15..Namun, siapakah sebenarnya Ratu Sulaman dan Dani? Mengapakah kejahatan sering mengejar Laksamana Sunan walau di mana pun beliau berada?


"Hijab Sang Pencinta" - Inilah pelengkap trilogi kedua-dua novel di atas. Laksamana Sunan masih lagi menjadi buruan kepada kejahatan, Thagut, Manggala, Panji Tengkorak, dan Putri Kober Gandring. Terbuka hijab zaman antara Laksamana Sunan dan Haryani...bermula semula kisah cinta yang melangkaui masa...

Setiap orang mempunyai sebab tersendiri membaca. Ada yang ingin menambah ilmu pengetahuan, mencari idea, mengisi masa lapang, dan sebagainya. Walau apa pun sebab dan tujuannya, ia bergantung pada seseorang itu, kan?

Entri ini bukan bertujuan untuk mempromosikan novel, tetapi sekadar berkongsi pengalaman penulis dalam bidang bacaan serta berharap agar mereka-mereka di luar sana cuba menjadikan membaca sebagai salah satu hobi yang menarik untuk diri sendiri!

Percayalah...membaca itu amat menyeronokkan!!! Reading is really fun!

*** Sila beli novel-novel ini utk mengetahui dgn lebih lanjut atau lihat sahaja di sini.