Thursday, February 5, 2009

Membaca

" Membaca Amalan Mulia"

Saya memang amat suka membaca.

Ia merupakan salah satu hobi saya sejak di bangku sekolah lagi. Namun, bahan bacaan ilmiah seperti buku-buku pelajaran terutama buku teks Sejarah, bukanlah menjadi 'favourite book' saya. Jadi, apakah bahan bacaan yang paling saya gemari?

Ya..saya amat minat membaca NOVEL!
Ia menjadi kegilaan saya sejak di sekolah rendah lagi. Sewaktu di sekolah rendah, saya amat suka membaca novel-novel penyiasatan dan pengembaraan terutama daripada hasil tulisan Enid Blyton yang telah diterjemah ke Bahasa Melayu. Kemudian, apabila meningkat usia remaja (sekolah menengah), saya mula membaca novel-novel remaja, tidak semestinya novel cinta, tetapi apa sahaja novel yang selalunya tebal-tebal dan asalkan ianya mempunyai olahan ayat dan gaya bahasa yang menarik dan penuh makna.

Seingat saya, ketika di Tingkatan 2 (masa tu saya tinggal di asrama), kami berebut-rebut dan bergilir-gilir untuk membaca novel yang selalunya dibawa oleh rakan sekelas, Shima. Beliau memang banyak stok novel di rumah, tapi kami harus menyorok-nyorok untuk membacanya agar tidak diketahui oleh Exco Asrama ataupun cikgu kerana di sekolah saya novel sebegitu terutama novel cinta adalah merupakan bahan larangan ke sekolah dan asrama.

Sebenarnya, saya membaca novel hanya suka-suka, sekadar mengisi masa lapang dan saya suka dengan gaya bahasa dan olahan ayatnya. Hobi ini tidak pernah terkubur walau sesibuk mana pun saya. Sekiranya ada novel, saya akan cuba menghabiskannya, dan sekiranya saya sudah mula membaca, kadang-kadang saya hampir terleka dan sanggup bersengkang mata di malam hari hanya untuk mengetahui kesudahan sesuatu cerita itu. Oh...kenapa tidak ini berlaku ketika saya ingin menghadapi peperiksaan?? Bersengkang mata membaca buku pelajaran??? Hehehe... tanya diri sendiri...!

Sehingga kini, dan ketika ini, membaca novel masih lagi menjadi kegilaan saya...
Penulis novel yang saya minati adalah Novelis Thriller Malaysia, iaitu Ramlee Awang Murshid. Bagi saya, gaya penulisan beliau bukan hanya berkisar tentang cinta semata-mata, walhal penuh dengan dakwah, pengajaran dan membuatkan kita sentiasa berfikir dan tertanya-tanya kesudahan sesuatu cerita yang dihasilkannya. Berdasarkan pengalaman pembacaan saya, kesemua novel beliau penuh dengan suspen dan di luar jangkaan, serta olahan cerita yang berlainan dengan lain-lain gaya penulisan novelis Malaysia.

Pertama kali membaca hasil tulisan beliau adalah novel bertajuk 'Semangat Hutan'. Novel ini diberi pinjam oleh seorang rakan ketika masih menuntut di UiTM Melaka, sekaligus memperkenalkan novelis thriller ini sebagai penulis 'favourite' saya. Antara novel-novel beliau yang lain yang pernah saya baca ialah; Rahsia Perindu, Personal Justice (novel English, adaptasi daripada novel Adam) serta 3 novel yang menjadi pelengkap kepada satu cerita.

Inilah kisah yang paling saya minati dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskannya dan mampu untuk membacanya berulang-ulang kali. Terdapat banyak pengajaran dan ayat-ayat Qur'an yang diterjemahkan yang menunjukkan dan membuktikan kekuasaan serta keagungan Yang Maha Esa...




"Bagaikan Puteri" - Siri pertama, kisah Haryani & Laksamana Sunan...pertemuan insan dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia dan sukar diterima logik akal...




"Cinta Sang Ratu" - Rentetan daripada Bagaikan Puteri. Haryani kembali ke zamannya, abad ke-21, dan Laksamana Sunan atau Saifuddin berkahwin dengan Ratu Sulaman pada akhir kurun ke-15..Namun, siapakah sebenarnya Ratu Sulaman dan Dani? Mengapakah kejahatan sering mengejar Laksamana Sunan walau di mana pun beliau berada?


"Hijab Sang Pencinta" - Inilah pelengkap trilogi kedua-dua novel di atas. Laksamana Sunan masih lagi menjadi buruan kepada kejahatan, Thagut, Manggala, Panji Tengkorak, dan Putri Kober Gandring. Terbuka hijab zaman antara Laksamana Sunan dan Haryani...bermula semula kisah cinta yang melangkaui masa...

Setiap orang mempunyai sebab tersendiri membaca. Ada yang ingin menambah ilmu pengetahuan, mencari idea, mengisi masa lapang, dan sebagainya. Walau apa pun sebab dan tujuannya, ia bergantung pada seseorang itu, kan?

Entri ini bukan bertujuan untuk mempromosikan novel, tetapi sekadar berkongsi pengalaman penulis dalam bidang bacaan serta berharap agar mereka-mereka di luar sana cuba menjadikan membaca sebagai salah satu hobi yang menarik untuk diri sendiri!

Percayalah...membaca itu amat menyeronokkan!!! Reading is really fun!

*** Sila beli novel-novel ini utk mengetahui dgn lebih lanjut atau lihat sahaja di sini.

1 comment:

13may said...

rajinnya membaca :D